Wakaf Tunai - Pembayaran

Kutipan Dana Takaful Wakaf

Untuk memngumpul dana bagi tujuan mewujudkan Tabung Takaful Wakaf

Institusi : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu


Berdasarkan catatan yang ditemui, MAIDAM pada asalnya dinamakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, telah ditubuhkan pada tahun 1949 apabila Undang-undang Bil.1 Tahun 1949 diwartakan pada 16 Februari tahun yang sama.

 
Menurut warta tersebut, bahawa Yang Maha Mulia Sultan akan menyebabkan supaya dibuat Undang-Undang bagi maksud mengatur segala perkara-perkara agama dan bagi mendirikan satu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu kerana membantu dan menasihatkan Duli Yang Maha Mulia di dalam semua perkara yang bersangkut dengan Agama Islami dan Adat Istiadat Melayu.
 
 
Undang-Undang tersebut dinamakan Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1949 (1368).
 
 
Keahliannya terdiri tidak kurang daripada 3 orang ahli rasmi yang memegang jawatan yang bergaji di bawah Kerajaan Negeri dan tidak kurang daripada 5 orang ahli yang bukan rasmi.
 
 
Bagaimanapun, sepanjang Undang-Undang tersebut ditubuhkan, senarai keahlian Majlis tidak ditemui sehinggalah Undang-Undang tersebut dipinda 6 tahun kemudian iaitu dengan termaktubnya Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak Tahun 1955 (1375).
 
 
Undang-Undang ini turut menghapuskan perkataan Istiadat dan diletakkan di bahagian III di bawah fasa 6 hingga 21 dengan menampakkan peranan dan fungsi yang lebih jelas dan terarah.
 
 
Mulai dari itu (1 Julai 1958), telah ditemui senarai keahliannya yang diwartakan dari semasa ke semasa hingga sekarang. Pada peringkat itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu akan dilantik menjadi Yang DiPertua Majlis.
 
 
Perkara ini berlaku sehinggalah Kerajaan sekali lagi mewartakan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada 26 Mac 1987. Dalam enakmen ini seorang Setiausaha dilantik bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
 
 
Pada tahun 1992, pindaan enakmen dibuat bagi menukar lantikan Setiausaha bagi JHEAT kepada lantikan Setiausaha bagi Majlis.
 
 
Tanggal 10 April 1996, diluluskan pindaan enakmen bagi membolehkan YAB Menteri Besar menjadi Yang DiPertua Majlis dan secara automatik Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama sebagai Setiausaha Majlis.
 
 
Pada 30 Jun 1998, pindaan sekali lagi dibuat melibatkan lantikan Setiausaha Majlis yang juga bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang akan menjalankan segala dasar dan ketetapan Majlis. Semua perkataan Jabatan dan Pesuruhjaya dalam enakmen ditukar kepada Majlis.
 
 
Seterusnya pada 22 November 2001, kerajaan telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002. Pindaan-pindaan telah dibuat pada tahun 2003 dan 2008 yang melibatkan pelantikan Yang Dipertua Majlis bukan Menteri Besar dan keanggotaan Majlis yang lain.
 
 
Kerajaan Negeri, melalui Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 25 April 2012, telah meluluskan pindaan dua puluh seksyen di dalam Enakmen ini. Antara pindaan tersebut ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama akan menjadi Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
 
Pindaan tahun 2018 pula telah menetapkan bahawa Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama tidak lagi menjalankan tugas sebagai Setiausaha Majlis malah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama adalah anggota kepada mesyuarat Majlis itu sendiri. Di samping itu, satu lagi keanggotaan Majlis telah bertukar daripada Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah kepada Ketua Pendakwa Syarie.
 
Sumber Web Maidam - www.maidam.gov.my

Takaful wakaf adalah satu kegiatan takaful di mana peserta yang ingin menyertai takaful hendaklah menyerahkan sejumlah wang kepada pengendali berasaskan prinsip wakaf. Inilah yang membezakan takaful wakaf berbanding model takaful lain, yang mana kontrak penyerahan harta tersebut adalah berasaskan prinsip tabarru’ semata-mata. Dana wakaf diwujudkan bertujuan menyalurkan bantuan kewangan kepada peserta yang ditimpa musibah atau kesusahan selain menyediakan satu bentuk manfaat atau ganjaran kepada peserta mengikut apa yang dinyatakan dalam surat ikatan wakaf.

Pengendali takaful akan menawarkan peserta untuk menyumbangkan wang ke dalam tabung wakaf yang mempunyai kuasa untuk menyelaras dana di dalamnya dan berhak menentukan jumlah pampasan yang boleh dibahagikan kepada peserta atau penerima manfaat sekiranya berlaku musibah.

Pengendali takaful akan melaburkan harta wakaf tersebut dan keuntungan akan dikongsi antara pengendali takaful dan tabung wakaf. Dana yang terdapat di dalam tabung wakaf akan digunakan untuk sebarang tuntutan, rizab dan re-takaful. Manakala lebihan yang berlaku dalam tabung wakaf akan diserahkan kepada peserta. Model wakaf dalam takaful juga telah diamalkan oleh beberapa negara seperti Pakistan dan Afrika dengan jayanya.

Berasaskan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia, kuasa menawarkan produk Wakaf termasuk segala urusan pengurusan dan pengendaliannya hendaklah dibuat di bawah Majlis Agama Islam Negeri dan dalam konteks Terengganu MAIDAM. Ia berikutan peruntukan statutori dasar yang menyatakan bidang kuasa MAIN sebagai pemegang amanah tunggal (sole trustee) semua harta wakaf, sama ada wakaf am atau pun wakaf khas dan sama ada yang membabitkan harta alih dan harta tak alih.

Dalam model takaful wakaf ini, tabung yang ditubuhkan adalah merupakan dana wakaf yang akan diuruskan oleh institusi takaful atau mana-mana pihak yang dilantik oleh MAIDAM sebagai mutawalli. Jika dikatakan harta wakaf dalam tabung takaful tersebut adalah wakaf khusus yang ditentukan penerimanya sehingga institusi agama negeri berhak mengambilnya.